Pages

Rabu, 5 September 2012

Potensi Diri & Tauhid Rububiyah

Alhamdulillah, melalui pelatihan Kuasa 99 Nama yang dijalankan, para peserta bukan sahaja didedahkan dengan potensi diri masing-masing tetapi ia turut mengaitkan potensi individu dengan pemilik segala sesuatu iaitu Allah swt.

Menurut Dato' Haji Muhammad Zakaria  Potensi dalam diri individu secara semula jadi mempunyai sifat:
1) Mengenal dan mengiktiraf Allah swt sebagai Kuasa Pencipta mutlak.
2) Hidup bermasyarakat
3) Sifat berkasih sayang
4) Mengejar kejayaan dan kecemerlangan
5) Memiliki sikap berlumba-lumba untuk berbuat yang terbaik
6) Survival untuk hidup hingga titisan darah yang terakhir
7) Menolong orang lain yang susah
8) Taat kepada kepemimpinan.

Jadi untuk mengenal dan mengiktiraf Allah swt sebagai kuasa Pencipta Mutlak, maka pelatihan Kuasa 99 Nama memilih jalan memperkenalkan Allah swt melalui Rububiyah NYA iaitu ciptaan-ciptaan NYA serta Asma-asma dan Sifat-sifat NYA.

Namun apakah makna Rububiyah itu?
Tauhid ar-Rububiyyah bermakna beri’tiqad bahawa Allah SWT bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan sekelian alam.

Apa pula kaitannya dengan Kuasa 99 Nama?
Melalui Kuasa 99 Nama, kita menemui dalam diri kita sikap dan perilaku diri berdasarkan asma-asma Allah seperti yang Mengetahui, yang Adil, yang Memberi Manfaat, yang Memakbulkan dan lain-lain. Yang sebenarnya adalah hadir dari Asma-asma Allah itu sendiri.


Jadi? Ketahuilah Allah jua bersifat mutlak. Maka, nnt kita akan melihat "cerminan" asma-asma Allah pada manusia yang dilantik menjadi Khalifah NYA di atas muka bumi ini. kerana; Manusia, jika dia bersifat seperti memiliki dan berkuasa, maka sifatnya itu sementara. Segala sesuatu di alam ini kepunyaan Allah. Apa yang dimiliki makhluk hanyalah bersifat pinjaman dan majaz (kiasan). Hanya Allah sebagai Rabb al-’Alamin (Rabb sekelian alam) dan mempunyai segala sifat kesempurnaan. Dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna mengakibatkan seluruh makhluk bergantung kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya dan berharap kepada-Nya.

Manusia, jika dia cerdik, bijak dan pandai, maka semuanya itu datang daripada Allah. Segala kekayaan dan penguasaan manusia bukanlah miliknya yang mutlak tetapi datang daripada Allah. Manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak memiliki apa-apa melainkan setiap kuasa, tindak-tanduk, gerak nafas dan sebagainya datang daripada Allah.

Allah, Dialah Maha berkuasa, mencipta, menghidup dan mematikan. Dia berkuasa memberikan manfaat dan mudarat. Jika Allah mahu memberikan manfaat dan kelebihan kepada seseorang, tiada siapa mampu menghalang atau menolaknya. Jika Allah mahu memberikan mudarat dan keburukan kepada seseorang seperti sakit dan susah, tiada siapa dapat menghalang atau mencegahnya.

Oleh itu hanya Allah sahaja ‘mutafarriq’, bermakna hanya Allah yang berkuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat. Firman Allah SWT:
“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
(Al-An’am: 17)

Dengan sifat-sifat Allah tersebut, maka timbullah kesan tauhid kepada seseorang. Dia hanya takut kepada Allah, dan berani untuk bertindak melakukan sesuatu kerana keyakinannya kepada Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan