Pages

Selasa, 11 September 2012

Energy Asma Ul Husna

Anda semua telah sedia maklum, program Kuasa 99 Nama diisi 70% dengan penggunaan Asma Ul Husna bagi mengenali potensi diri, kekuatan dalaman diri, mendapatkan petunjuk kepada ujian-ujian kehidupan melalui enam cabang utama kehidupan (kerohanian, kekeluargaan, sosial, kerjaya/kekayaan, pendidikan dan kesihatan) serta menjadi titik mula untuk muhasabah diri.

Secara umumnya, semua telah mengetahui Asma Ul Husna adalah nama-nama Allah yang terbaik dan yang Agung, seuai dengan sifat-sifat Allah yang jumlahnya 99 nama. Hal ini berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud:
"dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan." (Al-A'raaf:180)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Bahawasanya Allah swt itu mempunyai 99 Nama yakni seratus kurang satu. Barang siapa menghafalnya nescaya akan dimasukkan ke dalam syurga." (HR Imam Bukhary).

Pada dasarnya juga, kita harus mengetahui bahawa nama-nama Allah swt ini sebenarnya melebihi 99 nama yang disebutkan dalam al-Quran dan Hadis baginda Rasulullah saw. Menurut penyusun kitab Pati Rahsia, Haji Nik Mahmud bin Ismail (Datuk Perdana Menteri Paduka Raja), Allah swt mempunyai 3000 nama iaitu:
1) Seribu nama yang hanya diketahui oleh para Malaikat sahaja.
2) Seribu nama yang hanya diketahui oleh para Nabi-nabi sahaja.
3) Tiga ratus nama disebut dalam kitab Taurat.
4) Tiga ratus nama disebut dalam kitab Injil.
5) Tiga ratus nama disebut dalam kitab Zabur.
6) 99 nama disebut dalam al-Quran.
7) satu nama khas tersimpan dalam pengetahuan Allah swt.
 
Kita juga harus memahami bahawa Asma Ul Husna Allah swt ini bukanlah sekadar nama sahaja. Jika dikaji secara mendalam, Asma Ul Husna bukanlah sekadar nama-nama Allah. Lebih dari itu, Asma Ul Husna merupakan tools/alat untuk mendekatkan diri kepada Nya. Berdasarkan tahapannya, ulama menggariskan bahawa terdapat sekurang-kurangnya lima keupayaan dalam mengoptimakan Asma Ul Husna sebagai saranan untuk mendekatkan diri kepada Allah swt iaitu:
1) Mengenal Allah: "Dialah Allah, tiada ada Tuhan melainkan Dia, Dia mempunyai Asma Ul Husna (nama-nama yang baik) Taha:8.
2) Memohon: "Allah memiliki Asma Ul Husna, maka memohonlah kepadaNya dengan (menyebut) nama-nama yang baik...Al-A'raaf:180.
3) Mengadu: "Katakanlah: Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana sahaja kamu seru, Dia mempunyai Asma Ul Husna (nama-nama yang terbaik)...Al-Isra':110.
4) Meminta Perlindungan: "Bertasbihlah kepadaNya apa yang ada di langit dan di bumi dan Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." Al-Hasyr:24.
5) Belajar dan Mentauladani: Mengamalkan pesanan-pesanan motivasi dan pengembangan diri yang terkandung di dalam makna Asma Ul Husna.
Melalui Program Kuasa 99 Nama ini, saya kenalkan Allah swt kepada anda melalui Asma-asma Nya. Saya cuba "dekatkan" Allah swt yang sememangnya telah dan senantiasa dekat dengan kita dengan mendedahkan kepada anda, Asma-asma Allah swt yang dilindungi disebalik nama anda. Hasil pembongkaran tersebut juga, bermulalah proses belajar dan mentauladani akan Asma-asma Allah ini dan seterusnya meminta pelindungan, mengadu dan memohon kepada Allah swt untuk membantu kita dalam menghadapi cabaran dan ujian yang hadir dari Allah swt jua.

Namun, hakikatnya Asma Ul Husna adalah milik Allah swt semata-mata. Kita sebagai makhluk hanya diminta untuk berikhtiar, berakhlak mulia dengan berpedoman kepada sifat dan nama-namaNya yang Agung. Apa pun ikhtiar kita, pasti kurang dan apa pun usaha kita, pasti banyak salahnya. Namun berdiam diri tanpa usaha, jauh lebih salah lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan