Pages

Memaparkan catatan dengan label tawakal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tawakal. Papar semua catatan

Selasa, 18 September 2012

Lari Dari Takdir

Apabila kita mengetahui sesuatu perkara yang menghalangi perjalanan kita dalam mencapai matlamat kehidupan dan kemudian kita mengambil langkah untuk mengubahnya, bukanlah bermakna kita lari dari takdir yang telah ditentukan oleh Allah swt dan bukan juga bermakna kita telah mengetahui apa yang telah ditakdirkan oleh Allah swt kepada kita.

Terdapat empat tahapan dalam perlaksanaan takdir Allah swt iaitu:
1) Penetapan Ilmu Allah semenjak Azali-berdasarkan firman Allah swt di dalam al-Quran yang bermaksud: "Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan bumi begitu juga. Di tengah-tengah semuanya turunlah perintah Allah, supaya kamu mengetahui, bahawa Allah itu berkuasa atas segala sesuatu dan bahawa pengetahuan Allah meliputi segala sesuatu." (At-Talaq:12)

2) Martabat Al Kitabah iaitu segala sesuatu yang tercatit di Luh Mahfuz. Di waktu ini kedudukan takdir itu belum putus ertinya masih menerima perubahan. Takdir ini dinamakan Takdir Muallaq. Sepertimana yang dinyatakan dalam firmanNya yang bermaksud; "Allah menghapuskan apa yang dikehendaki-Nya, dan pada sisi-Nya ada ibu kitab." (Ar-Ra'd:39)

Ketetapan Allah swt boleh berubah dengan kehendak Allah swt jua serta ia boleh berubah dengan doa dan perbuatan yang baik. Sepertimana Sabda Baginda Rasulullah saw yang bermaksud; "Tiada yang boleh menolak takdir melainkan doa dan tidak ada yang boleh memanjangkan umur kecuali perbuatan baik." Hadis Riwayat Tarmidzi.

3) Martabat Masyiah An Nafizah adalah kehendak Allah swt yang terlaksana. Maksudnya disini, keadaan ini adalah ketentuan yang tidak dapat lagi ditolak dan dihindari. Tidak ada satu kekuatan pun yang dapat melemahkan Qudrah Allah swt. Hal ini termaktub di dalam firman Allah swt yang bermaksud: "Dan kamu tidak mengkehendaki, kecuali Allah yang mengkehendaki, Tuhan Semesta Alam." (At-Taqwir:29)
4) Pengakuan yang kukuh bahawa sesungguhnya Allah swt yang mewujudkan sesuatu. Allah swt jualah yang mengetahui segala hikmah yang tersembunyi disebalik setiap kejadian. 
Ini bermakna selagi sesuatu itu tidak dilaksanakan oleh Allah swt maka kita masih boleh berusaha dan berdoa mengharapkan agar sesuatu itu menjadi sebaliknya. Walaubagaimanapun, tidaklah bermakna, hal yang terjadi itu diluar takdir Allah swt. Semua yang terjadi adalah dalam ketentuan dan takdir Allah jua kerana Allah swt yang menetapkan, memadam dan melaksanakan apa yang Dia kehendaki.
Lalu, tiadalah salahnya jika kita menggunakan kaedah Kuasa 99 Nama ini untuk mengenal pasti punca permasalahan yang dihadapi kemudiannya berdoa mahupun bertindak selaras dengan KUNCI penyelesaian masalah yang ditemui di dalam kaedah ini kerana Allah jualah yang berkehendak untuk kita mempelajari ilmu ini dengan menemukan ilmu Kuasa 99 Nama kepada kita. Allah jualah yang memahamkan kita dengan ilmu ini dan Dia jugalah yang menentukan sama ada usaha kita itu memberikan impak seperti yang kita kehendaki atau sebaliknya.
Jika Sahabat Rasulullah saw, Abdullah bin Mas'ud pun berdoa: "Ya Allah! Jika Engkau mentaqdirkanku di dalam mereka yang berbahagia, maka tetapkanlah. Dan jika Engkau menetapkan aku termasuk ke dalam mereka yang celaka maka hapuskanlah taqdir itu dariku dan pindahkan aku kepada mereka yang mendapat kebahagiaan. Sesungguhnya Engkau menghapus apa yang Engkau kehendaki dan menetapkan apa yang Engkau kehendaki. Dan di sisiMU lah Ummul Kitab." Maka adakah salah jika kita yang jahil, lemah, fakir dan serba kekurangan ini, tidak boleh untuk meminta sesuatu yang seperti ini?
Ingat! Anda mempunyai kebebasan berkehendak... Maka gunakanlah akal fikiran yang waras kurniaan Allah swt untuk membuat keputusan yang betul.

#Sumber rujukkan Buku Huraian Iman dan Ilmu Tauhid karangan Ustaz Shamsul Mohd Nor.

Isnin, 17 September 2012

Kebebasan Berkehendak

Ada juga yang bertanya, adakah program ini bertujuan untuk mengubah takdir Allah swt kepada hamba-hambaNya? Sesungguhnya adalah mustahil kita yang lemah ini mampu mengubah takdir dan ketetapan oleh Allah swt yang telah tertulis semenjak Azali lagi. Persoalannya, apakah kita tahu takdir yang telah ditentukan oleh Allah swt ke atas kita? Oleh yang demikian, kita harus berhati-hati kerana ditakuti lafaz ucapan kita itu boleh menjatuhkan kita ke dalam golongan Jabariyah mahupun Qadariyah.

Siapakah golongan Jabariyah ini? Menurut Harun Nasution Jabariyah adalah paham yang menyebutkan bahwa segala perbuatan manusia telah ditentukan dari awal oleh Qadha dan Qadar Allah. Maksudnya adalah bahwa setiap perbuatan yang dikerjakan manusia tidak berdasarkan kehendak manusia, tapi diciptakan oleh Tuhan dan dengan kehendak-Nya, di sini manusia tidak mempunyai kebebasan dalam berbuat, kerana tidak memiliki kemampuan. Ada yang mengistilahkan bahwa Jabariyah adalah aliran manusia menjadi wayang dan Tuhan sebagai dalangnya. Secara mudahnya adalah manusia tidak langsung mempunyai daya usaha untuk melakukan sesuatu.

Bagaimanapula dengan golongan Qadariyah? Menurut Ahmad Amin sebagaimana dikutip oleh Dr. Hadariansyah, orang-orang yang berpaham Qadariyah adalah mereka yang mengatakan bahwa manusia memiliki kebebasan berkehendak dan memiliki kemampuan dalam melakukan perbuatan. Manusia mampu melakukan perbuatan, mencakupi semua perbuatan, yakni baik dan buruk. Secara mudahnya pula, mereka menganggap Allah swt tidak langsung terlibat dalam perjalanan hidup manusia di muka bumi. Selagi berkehendak, semua orang boleh memiliki apa yang dikehendaki dan tidak tertakluk kepada ketentuan Allah swt.
Jadi, pegangan yang bagaimana harus menjadi ikutan kita? Ahli sunnah wal Jamaah adalah pegangan yang selamat untuk kita ikuti. Kefahaman ahli Sunnah Wal Jamaah meletakkan kita berperilaku diantara fahaman Jabariyah dan juga Qadariyah. Kefahaman ini tidak melepaskan semuanya kepada ketentuan Allah swt tanpa adanya usaha dan ikhtiar terlebih dahulu dan tidak pula duduk di alam Qadariyah yang merasakan diri serba mampu sehingga lupa untuk berdoa dan berserah diri (bertawakal) kepada Allah swt dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Secara mudahnya, pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah menggalakkan kita untuk melakukan sesuatu dengan melibatkan Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakal.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah swt dalam surah Al-Qasas, ayat 77 yang bermaksud:
"Dan carilah dengan segala apa yang diberikan oleh Allah kepada engkau (keselamatan) negeri Akhirat, jangan engkau lupakan bahagian (nasib) engkau di dunia ini, buatlah kebaikan sebagaimana Allah telah berbuat kebaikan kepada engkau dan janganlah engkau membuat bencana di muka bumi ini, sesungguhnya Allah tidak mencintai orang-orang yang membuat bencana."
 
Jika anda dapat memahami info yg disampaikan disini, bahawa tidak salah untuk kita mempunyai matlamat kerana itu adalah bahagian untuk kita di dunia. Namun, ikhtiar dan kebebasan berkehendak kita seharusnya sesuai dan selari dengan perintah Allah swt, sepertimana firman Allah yang bermaksud:
“(Allah) mengilhamkan kepada jiwa(sukma) jalan kefasikan (kejahatan) dan ketakwaan (kebaikan). Sesungguh, berbahagialah siapa yang mensucikannya. Dan rugilah siapa yang mengotorinya” ( Al Syams, ayat 8,9,10).
 
Jadi terpulanglah kepada kita untuk menentukan jalan yang kita pilih. Apa langkah yang ingin diambil? Kemana arah dan hala tuju serta bagaimana hendak mencapai matlamat yang dikehendaki. Namun dalam masa yang sama, andai kita dikurniakan petunjuk untuk diikuti bagi menjayakan hasrat dan matlamat tersebut, perjalanan yang berliku akan lebih mudah lagi. Lalu mengapa kita tidak mahu menggunakan petunjuk-petunjuk yang diberikan?